Selasa, 13 November 2012

Sepintas Lalu


( Tapak Sekolah )

1.      0. Pendahuluan

Kesedaran tentang permasalahan mualaf yang tidak berkesudahan khususnya dalam bidang pendidikan serta berbekal sedikit pengalaman telah menyuntik semangat untuk membangunkan sebuah sekolah bersistemkan pondok sebagaimana pondok-pondok yang terdapat di semenanjung, Malaysia.  Dua fokus utama; Pendidikan kelas umum dengan tidak mengenepikan pendiikan peringkat kanak-kanak menjadi keutamaan SAR Kg. Salimandut dibangunkan.

Dengan adanya pusat pendidikan seumpama ini, ia sedikit sebanyak akan menyumbang ke arah pembanterasan kejahilan dalam kalangan mualaf khususnya di kawasan utara Sabah.  Selain itu, kewujudan SAR ini kelak bakal dapat mengimbangi kerancakan gerakan kristianisasi yang semakin hari semakin aktif  di Sabah, khususnya di kawasan utara.  Gerak kerja mereka bukan saja terancang dan bersistem bahkan mendapat sokongan daripada para penganut mereka, pemimpin-pemimpin masyarakat, para ahli politik Kristian serta pihak- pihak luar. Usaha oleh jabatan agama seperti JHEAINS, JAKIM, YADIM dan badan-badan NGO seperti USIA, ABIM  dan pertubuhan mualaf tidaklah dinafikan dalam membendung gejala jahil masyarakat Islam kawasan ini, namun itu tidak cukup bahkan seyogia dipastikan masyarakat sekeliling turut serta dan aktif menyokong kerja-kerja dakwah mengikut kapasiti masing-masing.

 Bagi kawasaan N5 Tandek, sehingga hari ini, hanya wujud sebuah SAN yang terletak di Pekan Tandek dan SAR Kg. Salimandut kini merupakan sekolah agama kedua. Selain sukatan kurikulum dan ko-kurikulum  dari jabatan pendidikan JHEAINS, SAR Kg. Salimandut juga akan menggunakan bahasa sukuan Dusun Kimaragang sebagai bahasa penyampai terutamanya ketika mentafsirkan sesuatu perkataan yang terkandung dalam sesuatu istilah dalam kuliah-kuliah umum mingguan memandangkan 100% penduduk sekitar sekolah ini terdiri daripada suku Dusun Kimaragang.

Oleh kerana ketiadaan bangunan khas sekolah, maka sementara waktu, pihak kami telah menjadikan masjid sebagai kelas, sekali gus memudahkan pelaksanaan praktikal atau amali kepada murid-murid  dalam pembelajaran mereka. Perkara ini akan berlarutan sehingga wujud bangunan sekolah yang kini sedang diusahakan.  Sebuah  tapak tanah persendirian bergeran seluas 3 ekar telah diwakafkan oleh encik Botong bin Anjuk untuk tapak sekolah TABUNG SUMBANGAN SAR KG. SALIMANDUT telah dilancarkan baru-baru ini dan sedang giat mencari dana dari pelbagai sumber termasuklah dari pihak-pihak individu, usahawan, pertubuhan, yayasan, badan-badan koperat dan lain-lain sumber untuk kegunaan jangka panjang dan pendek SAR sekali gus memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran SAR ini.

2.0. Jumlah Pelajar

  Seramai  87 orang pelajar yang beragama Islam di SK. Tumunda, Salimandut secara langsung akan diserap menjadi pelajar pertama SAR Kg. Salimandut. Ini tidak termasuk pelajar yang bakal mendaftar dari kampung-kampung berhampiran. Dianggarkan hampir 150 orang murid lagi akan memasuki SAR Kg. Salimandut berdasarkan jumlah dan purata penganut Islam kampung berhampiran iaitu  Kg. Damai, Masolog, Talantang I, Talantang II, Magaratung, Penusukan, Longob, Nolotan, Batation, Morion. 

 3.0. Latar Belakang Penduduk

Seramai 80 % penduduk N5 Tandek  terdiri daripada suku  Dusun  yang mengusahakan tanaman  sawah
padi dan getah. Ada di antaranya menambah pendapatan dengan menangkap ikan sebagai kerja sampingan.
Sebahagian kecil yang lain bekerja di sektor awam.

4. 0. Visi  Sekolah

 Kenal Allah, cinta Rasulullah

5. 0. Misi Sekolah

  1. Melahirkan pelajar berilmu dan beramal
  2. Menjadi pusat pendidikan mualaf sabah
  3. Mewujudkan sistem pondok moden
  4. Mengadakan pembelajaran secara online
  5. Mengadakan khidmat masyarakat 24 jam
  6. Bahasa dan budaya sebagai metod dakwah
  7. Pusat penterjemahan ilmu Islam dalam bahasa Dusun Kimaragang   
Diharapkan agar bangunan dan prasarana SAR kampung Salimandut  Tandek akan dapat dibangunkan sesegera mungkin agar para pelajar akan mendapat suasana pembelajaran kondusif sekali gus menyegerakan pencapaian visi dan misi sekolah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan