Selasa, 13 November 2012

Sepintas Lalu


( Tapak Sekolah )

1.      0. Pendahuluan

Kesedaran tentang permasalahan mualaf yang tidak berkesudahan khususnya dalam bidang pendidikan serta berbekal sedikit pengalaman telah menyuntik semangat untuk membangunkan sebuah sekolah bersistemkan pondok sebagaimana pondok-pondok yang terdapat di semenanjung, Malaysia.  Dua fokus utama; Pendidikan kelas umum dengan tidak mengenepikan pendiikan peringkat kanak-kanak menjadi keutamaan SAR Kg. Salimandut dibangunkan.

Dengan adanya pusat pendidikan seumpama ini, ia sedikit sebanyak akan menyumbang ke arah pembanterasan kejahilan dalam kalangan mualaf khususnya di kawasan utara Sabah.  Selain itu, kewujudan SAR ini kelak bakal dapat mengimbangi kerancakan gerakan kristianisasi yang semakin hari semakin aktif  di Sabah, khususnya di kawasan utara.  Gerak kerja mereka bukan saja terancang dan bersistem bahkan mendapat sokongan daripada para penganut mereka, pemimpin-pemimpin masyarakat, para ahli politik Kristian serta pihak- pihak luar. Usaha oleh jabatan agama seperti JHEAINS, JAKIM, YADIM dan badan-badan NGO seperti USIA, ABIM  dan pertubuhan mualaf tidaklah dinafikan dalam membendung gejala jahil masyarakat Islam kawasan ini, namun itu tidak cukup bahkan seyogia dipastikan masyarakat sekeliling turut serta dan aktif menyokong kerja-kerja dakwah mengikut kapasiti masing-masing.

 Bagi kawasaan N5 Tandek, sehingga hari ini, hanya wujud sebuah SAN yang terletak di Pekan Tandek dan SAR Kg. Salimandut kini merupakan sekolah agama kedua. Selain sukatan kurikulum dan ko-kurikulum  dari jabatan pendidikan JHEAINS, SAR Kg. Salimandut juga akan menggunakan bahasa sukuan Dusun Kimaragang sebagai bahasa penyampai terutamanya ketika mentafsirkan sesuatu perkataan yang terkandung dalam sesuatu istilah dalam kuliah-kuliah umum mingguan memandangkan 100% penduduk sekitar sekolah ini terdiri daripada suku Dusun Kimaragang.

Oleh kerana ketiadaan bangunan khas sekolah, maka sementara waktu, pihak kami telah menjadikan masjid sebagai kelas, sekali gus memudahkan pelaksanaan praktikal atau amali kepada murid-murid  dalam pembelajaran mereka. Perkara ini akan berlarutan sehingga wujud bangunan sekolah yang kini sedang diusahakan.  Sebuah  tapak tanah persendirian bergeran seluas 3 ekar telah diwakafkan oleh encik Botong bin Anjuk untuk tapak sekolah TABUNG SUMBANGAN SAR KG. SALIMANDUT telah dilancarkan baru-baru ini dan sedang giat mencari dana dari pelbagai sumber termasuklah dari pihak-pihak individu, usahawan, pertubuhan, yayasan, badan-badan koperat dan lain-lain sumber untuk kegunaan jangka panjang dan pendek SAR sekali gus memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran SAR ini.

2.0. Jumlah Pelajar

  Seramai  87 orang pelajar yang beragama Islam di SK. Tumunda, Salimandut secara langsung akan diserap menjadi pelajar pertama SAR Kg. Salimandut. Ini tidak termasuk pelajar yang bakal mendaftar dari kampung-kampung berhampiran. Dianggarkan hampir 150 orang murid lagi akan memasuki SAR Kg. Salimandut berdasarkan jumlah dan purata penganut Islam kampung berhampiran iaitu  Kg. Damai, Masolog, Talantang I, Talantang II, Magaratung, Penusukan, Longob, Nolotan, Batation, Morion. 

 3.0. Latar Belakang Penduduk

Seramai 80 % penduduk N5 Tandek  terdiri daripada suku  Dusun  yang mengusahakan tanaman  sawah
padi dan getah. Ada di antaranya menambah pendapatan dengan menangkap ikan sebagai kerja sampingan.
Sebahagian kecil yang lain bekerja di sektor awam.

4. 0. Visi  Sekolah

 Kenal Allah, cinta Rasulullah

5. 0. Misi Sekolah

  1. Melahirkan pelajar berilmu dan beramal
  2. Menjadi pusat pendidikan mualaf sabah
  3. Mewujudkan sistem pondok moden
  4. Mengadakan pembelajaran secara online
  5. Mengadakan khidmat masyarakat 24 jam
  6. Bahasa dan budaya sebagai metod dakwah
  7. Pusat penterjemahan ilmu Islam dalam bahasa Dusun Kimaragang   
Diharapkan agar bangunan dan prasarana SAR kampung Salimandut  Tandek akan dapat dibangunkan sesegera mungkin agar para pelajar akan mendapat suasana pembelajaran kondusif sekali gus menyegerakan pencapaian visi dan misi sekolah ini.

Tapak Sekolah



Perkembangan terkini SAR Kg. Salimandut. Selepas pihak jawatankuasa mendapat kelulusan daripada JHEAINS akaun semasa atas nama SAR Kg. Salimandut telah dibuka untuk memudahkan mana-mana pihak memberi sumbangan ikhlas. Selain itu, beberapa tabung turut kami simpan di beberapa premis perniagaan. Kedudukan kewangan setakat hari ini adalah RM 4,980 hasil sumbangan para penyumbang. Jumlah ini masih belum dapat menampung pembinaan sekolah sebagaimana kami rancang sebelumnya. Pun, beberapa surat berkaitan telah kami majukan termasuklah kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan.

Di pihak kami, hanya ada sebidang tanah bergeran tempat sekolah itu dibangunkan. Pertemuan dengan beberapa individu yang pada dasarnya mereka bersetuju memberi sumbangan juga sedikit sebanyak membantu usaha ini walaupun sebenarnya ia belum menjadi kenyataan. Usaha dan ikhtiar akan diteruskan dan tidak berhenti begitu sahaja kerana, kawasan Tandek antara tempat yang sangat memerlukan sekolah agama. Desakan keperluannya semakin bertambah apabila saban waktu penganut Islam bertambah di kawasan ini, sedang pengajian ilmu agama pula didapati sangat kurang.

Harapan kami agar para pembaca dapat membantu menyebarkan informasi ini. Moga berita ini sampai kepada para dermawan sekali gus membantu mempercepatkan pembangunan sekolah yang kami maksudkan.

Ucapan Pengerusi Bertindak


Urusan agama Islam melibatkan persoalan hidup dan mati justeruitu ia terpikul pada setiap bahu individu islam . Persoalan ini bakal ditanya Allah di akhirat kelak. Umat Islam baru saja menyambut Tahun Baru Hijrah 1433 dengan harapan semoga urusan-urusan yang belum terlaksana tahun lalu akan dapat dilaksanakan pada tahun baru ini. 

Setiap tahun bilangan penganut Isl
am bersuku Kimaragang semakin bertambah. Penambahan ketara ini adalah hasil dakwah pelbagai pihak yang diusahakan secara berterusan. Namun, perkembangan ilmu Islam di kalangan kaum ini amat ketingalan jauh berbanding mereka yang berpeluang mendapat pendidikan formal di sekolah agama seperti di Pekan Lama Bandau.

Jarak sejauh 23 km antara sekolah yang dimaksudkan dengan tempat tinggal penduduk Tandek khususnya suku Dusun Kimaragang mengekang mereka daripada mendapat pendidikan Islam secara formal di sekolah agama. Sudah tentu sukar bagi para ibu bapa yang kebanyakannya terdiri daripada petani menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang pergi baliknya berjarak hampir 50 km.

Bancian kasar terkini penduduk beragama Islam melibatkan beberapa kampung Dusun Kimaragang di kawasan Tandek mencecah 1500 orang kesemuanya tidak termasuk mereka yang tinggal di kawasaan perbukitan.

Pemilihan Kampung Salimandut sebagai pusat pendidikan pula adalah berdasarkan kedudukan Kampung Salimandut yang berada di tengah-tengah perkampungan Tandek antaranya Kampung Nolotan, Batation, Marion, Tingkalanon, Damai, Masolog, Longob, Talantang 1, Talantang 2 dan Penusukan. Selain itu, majoriti murid di kampung-kampung ini bersekolah di SK. Tumunda, Salimandut.

Selepas pembentukan AJK bertindak, surat-surat berkaitan bersama minit mesyuarat ini akan dihantar kepada pihak berkaitan sebagai makluman dan tindakan pihak mereka selanjutnya. Kelulusan segera sangat diharapkan agar bantuan-bantuan yang sewajarnya turut segera disalurkan.

Sebagai makluman , tapak bangunan bagi sekolah ini telah sedia ada. Tanah geran seluas dua ekar telah diwakafkan oleh encik Botong bin Anjuk.

Terima Kasih Bapa


Terima kasih kepada bapa saya Botong Anjuk yang memahami perjuangan dan cita-cita saya untuk mewujudkan sebuah sekolah agama di Kampung Salimandut khusus untuk kaum Dusun Kimaragang. Beliau telah mewakafkan 2 ekar tanah geran milik beliau untuk tapak pembangunan sekolah itu. Meski ia tidaklah sebesar mana tapi demi pendidikan maknanya cukup besar. 

Terima kasih bapa.

Isnin, 12 November 2012

KENYATAAN AKHBAR


Pengerusi SAR Kampung Salimandut Tandek, Nazri@ Lebon bin Abdullah berkata dengan terbangunnya bangunan SAR di Kampung Salimandut Tandek, semua penduduk berhampiran sudah tiada alasan untuk tidak belajar agama kerana, sela
in budak sekolah rendah yang menjadi fokus kemasukan sesi pengajian pertama, SAR ini turut membuka kelas pengajian untuk dewasa tanpa had umur. 


Pihak pengurusan sekolah juga sedang melibatkan diri dengan aktiviti kunjungan dan ziarah ke beberapa buah SAR yang terdapat di Sabah untuk menimba pengalaman mengurus Sekolah Agama Rakyat. Menurut beliau lagi, sementara waktu bangunan masjid Kampung Salimandut akan dijadikan kelas pengajian untuk 87 orang murid yang ada.

Sementara alternatif kedua katanya, pihak pengurusan sekolah kini juga sedang menanti kelulusan dan kebenaran dari pihak Kementerian Pendidikan Sabah, untuk menggunakan bangunan SK. Tumunda, Salimandut menerusi surat yang telah dihantar awal bulan Januari 2012.

Sementara Botong bin Anjuk ketika ditanya tindakan beliau mewakafkan lot tanah yang asalnya menjadi tempat tanaman padi dengan tuaian hasil dua kali setahun menjawab hasrat besar anaknya Nazri@ Lebon memperjuangkan pendidikan mualaf di Sabah menjadikannya memilih keputusan menyerahkan tanah itu kepada Nazri@ Lebon sekali gus diwakafkan menjadi tempat dan pusat pendidikan mualaf Sabah. Seperti Nazri, beliau turut yakin bahawa inilah antara jalan dan cara mengurangkan masalah jahil di kalangan mualaf Sabah.

Nazri dalam pertemuan itu sempat mengisahkan tentang hasratnya membangunkan sekolah agama untuk mualaf. Hasrat ini adalah antara yang dipanjatkannya kepada Allah ketika berada di tanah suci Mekah. Beliau melahirkan rasa syukur kerana meskipun bangunannya belum terpacak, namun dengan adanya kelulusan dari pihak JHEAINS Sabah, impiannya untuk melihat para mualaf di kawasan Tandek mendapat pendidikan agama secara formal, akhirnya bakal tercapai.

Tambah Nazri, di pusat pengajian ini nanti akan dibuat sebuah konti kerana pengajian-pengajian yang ada bakal dikeudarakan langsung kepada pendengar secara berjadual melalui siaran atas talian, Cahayafm.
Pada akhir pertemuan, Nazri melahirkan harapan agar selepas ini ada insan-insan dermawan yang tampil membantu usaha membangunkan sekolah ini kerana tanpa bantuan dan sokongan semua lapisan masyarakat Islam, tidak mungkin sekolah ini dapat dibangunkan.

Dengan terbinanya sekolah ini beberapa kampung berhampiran bakal mendapat manfaat bersama antaranya kampung Nolotan, Batation, Morion, Longob, Talantang I, Talantang II , Minitampak, Mosolog dan Damai.

Selasa, 20 Mac 2012

Akaun SAR

Alhamdulillah, hasil sokongan dan sumbangan para penyumbang prihatin yang turut mahu melihat terbangunnya pusat pendidikan orang-orang mualaf Sabah, maka secara rasmi kami maklumkan bahawa akaun SAR Kg. Salimandut Tandek, Kota Marudu kini bukan lagi menggunakan akaun peribadi seperti yang dipaparkan beberapa waktu sebelum ini. Serta –merta kini, akaun peribadi atas nama MOHD. NAZRI BIN ABDULLAH dibatalkan. Selepas ini, mana-mana pihak yang mahu menyumbang bolehlah disalurkan terus ke akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU, NO AKAUN: 10016010085807 di BANK ISLAM, seperti terpapar dalam gambar.

Kepada muslimin dan muslimat yang secara lansung atau tidak langsung membantu merealisasikan kewujudan akaun ini, saya mewakili pihak pengurusan sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda. Sesungguhnya kami tidak dapat membalas kebaikan kalian melainkan Allah jugalah yang layak menilai dan membalasnya .

MAKLUMAN;
Semua urusan berkaitan sumbangan hanya menggunakan nama akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU. Kami tidak melantik mana-mana orang tengah, agen atau wakil sekali gus menafikan urusan mengutip derma atau sumbangan daripada mana-mana pihak, sama ada menggunakan nama sekolah, persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Sebarang keraguan atau ketidakjelasan berkaitan hal ini, boleh dikemukakan kepada kami menerusi talian 019-8827449.